Friday, January 8, 2016

Dalam Diam

Puisi ini aku berikan kepada manusia yang akan atau telah menggelarkan diri mereka sebagai sepasang suami dan isteri yang paling bahagia..... mungkin benar...mungkin tidak....


dalam diam



ujar lelaki wanita itu lemah
ujar wanita mereka adalah lembut
antara lemah dan lembut
besar perbezaannya
namun ada yang tidak rela mengakuinya

telah ditakdirkan
kerana lembut wanita
tidak gemar perbalahan
kecuali jika amat terpaksa
lalu wanita pun diam
diam, seolah-olah menerima...

dalam diam wanita gigih melaksanakan kewajipan
dalam diam wanita terus-terusan bekerja
di pejabat sebagai kerani
di rumah sebagai suri
dari sebelum tercalit garis putih subuh hari
hingga dua jarum jam tegak bertindih jari

lelaki yang mengaku kuat
celik mata sarapan sudah terhidang
apabila pulang dari pejabat
di kerusi malas lunglai terlentang
isteri yang dikata lemah
bergelut di dapur memasak
suami yang mengaku gagah
bersantai di hadapan tivi tidak bergerak

selesai memasak wanita menguruskan anak-anak
menyapu sampah, mengemas rumah yang berselerak
lelaki yang keletihan kerana memandu di jalan sesak
berehat, menonton tivi sambil tergelak

dalam diam wanita yang dianggap lemah terus berlumba dengan masa
memandikan anak, melipat pakaian dan membasuh baju
kaki tangan semuanya digerakkan dengan laju
menyiram pohon-pohon bunga yang mulai layu
sebelum solat maghrib untuk sujud menyembah Yang Satu

makanan dihidang selepas solat
pinggan mangkuk dibasuh meja dikemas dengan cepat
selesai kerja rumah, anak-anak diajar mengaji
sedang suami tersandar semula seperti tadi
sebagai isteri kesetiaan wanita sentiasa diuji
dalam diam semua tugas rumah segera dibereskan

lelaki terpelajar celik hati
ingin menghapus diskriminasi
lantang membela nasib wanita
memberi kesedaran supaya segera bangkit
meminta lelaki jangan lagi memperlakukan wanita mengikut adat tradisi
hukum agama turut dipaparkan
tugas suami mengemas rumah, menjaga anak, membasuh, pakaian, menyediakan makanan
jika suami tidak berdaya melakukannya
seorang pembantu wajar disediakan

lelaki yang hanyut dalam keasyikan
tidak mampu menerima perubahan
rela bertahan bagaimana jua
asalkan cara hidup tradisi terus dinikmati

dalam diam
wanita yang sering dianggap lemah
meneruskan hidup dengan segala kekuatan.



karya: Zaharah Nawawi, DBP

No comments:

Lihat ini Juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...